Sunday, 31 March 2013

Apakah yang anda faham tentang "PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH" ?


Pengenalan

         Perkembangan sistem pendidikan pada masa kini memberi pengiktirafan kepada mana-mana sekolah yang mencapai standard kecemerlangan yang telah ditetapkan dengan memberi penarafan Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Harapan Negara dan sebagainya.  Ia merupakan suatu kepercayaan kementerian terhadap keberkesanan sekolah terhadap usaha kepimpinan sekolah.  Terdapat juga sekolah-sekolah yang tidak mendapat pengiktirafan tetapi terbaik dalam lingkungan kawasannya dan sekolah-sekolah ini disifatkan sebagai berkesan.

     Sekolah sebagai sebuah sistem sosial yang memberi khidmat kepada pelbagai latar belakang masyarakat mempunyai pelbagai peranan dan tuntutan dari pelbagai pihak yang berkepentingan.  Maka adalah munasabah bahawa setiap golongan masyarakat mempunyai pelbagai pandangan pendefinisian sekolah tentang keberkesanan sekolah. Golongan yang dimaksudkan itu adalah guru, pelajar, ibu bapa melihat keberkesanan sekolah dari penekanan kepada aspek kecemerlangan akademik sebagai pengukur keberkesanan sekolah.  Implikasinya, ibu bapa melihat akan keupayaan guru untuk mengajar anak-anak mereka belajar dan cemerlang dalam peperiksaan.  Manakala bagi guru, mereka berpandangan penekanan kepada perkembangan yang seimbang dalam kalangan pelajar dan pengharapan keupayaan pentadbir sekolah membantu guru menjalankan tugasnya.

        Oleh itu, sekolah sememangnya dibebani dengan pelbagai pengharapan oleh pelbagai golongan masyarakat.  Sekolah dilihat mempunyai pelbagai konsep keberkesanan mengikut persektif dan kepentingan pihak-pihak tertentu.  Bagi pihak kementerian, mereka melihat dari aspek Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kepada keseimbangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

       Apabila sekolah ingin menaikkan reputasi dan prestij di mata masyarakat yakni meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah, ia akan mula dikenali persepsi dan pemerhatian yang lebih luas khususnya daripada pihak berkepentingan dalam pendidikan seperti guru, murid, ibubapa dan komuniti setempat.  Pihak yang berkepentingan ini inginkan sekolah berjaya untuk membentuk murid yang mempunyai ciri-ciri modal insan yang berkualiti.  Justeru, usaha untuk membangunkan reputasi sekolah menjadi semakin penting dan mencabar (Bolender, 2004).  Malah, sekolah yang berusaha untuk membangunkan reputasinya ke arah kecemerlangan perlu memastikan tindakan mereka bertepatan dengan kehendak persekitaran yang sentiasa berubah-ubah (Vanderstoep, Anderman & Midgley, 2005) dan seharusnya berpandukan dapatan kajian yang mantap (Yeager, 1995).

       Bertepatan dengan saranan di atas, kajian mengenai sekolah berkesan seharusnya dijadikan panduan bagi sesebuah sekolah untuk merintis kejayaan kerana dapatan kajiannya adalah menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada keberkesanan P&P sahaja (Bolender, 2004).  Namun, kajian mengenai sekolah berkesan di Malaysia masih berkurangan (Shahril Marzuki, 1997) khususnya kajian yang berkaitan dengan pendekatan terkini dalam gerakan sekolah berkesan.  Implikasinya, wujud pelbagai takrifan yang diberikan dan fenomena tersebut menimbulkan masalah untuk membentuk model sekolah berkesan berdasarkan konteks di Malaysia (Rahimah Ahmad et al., 1999).

Definisi Sekolah Berkesan

       Sekolah berkesan didefinisikan sebagai sekolah yang mengadakan satu sistem pengajaran berpadu dan berkesan namun bagi Bickel (1983) pula berpendapat bahawa sekolah berkesan adalah sekolah-sekolah yang efektif dalam pengajaran kanak-kanak miskin atau dari kaum minoriti.  Man (1985) pula berpendapat sekolah berkesan adalah sekolah-sekolah yang efektif dari segi mengurangkan kesan sosial ekonomi pelajar ke atas pencapaian prestasi akademiknya.
 Sekolah-sekolah yang efektif dari segi mengurangkan kesan Status Sosial Ekonomi (SES) pelajar ke atas pencapaian prestasi akademiknya (Mann 1985).  Namun begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang keberkesanan sekolah ialah :

“Sekolah yang mana sebahagian besar daripada pelajar-pelajarnya mencapai tahap yang tinggi dalam prestasi akademik apabila dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain.”

(Cuttance 1985)

    
Konsep Sekolah Berkesan

        Istilah sekolah berkesan ini sememangnya telahpun popular di kalangan masyarakat di Malaysia, walaupun mereka sebenarnya belum lagi memahami maksud sekolah berkesan dengan sebenarnya. Konsep ini telah diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers, 1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sekolah berkesan ialah sesebuah sekolah di mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979).


Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.

Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya pembangunan berterusan adalah:-

·   kepemimpinan pengajaran yang berkesan
·   tujuan yang jelas
·   iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
·   jangkaan penguasaan minima semua murid
·   ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program
·   matlamat akademik yang jelas
·   penglibatan ibu bapa dan penjaga
·   wujudnya kesejawatanan (collegiality) 

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif, mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.

Konsep Penambahbaikan Sekolah

      Menurut Hopkins dan Reynolds (2002) serta Sashkin dan Egermeier (1992) bahawa Gerakan Penambahbaikan Sekolah yang wujud sejak lebih 30 tahun lalu telah memberikan impak kepada takrifan penambahbaikan sekolah berdasarkan peringkat-peringkat berikut iaitu:

(a)  Peringkat pertama (pertengahan tahun 1960-an)

    Pada peringkat pertama, konsep penambahbaikan sekolah telah memberikan tumpuan kepada pembolehubah proses atau strategi untuk meningkatkan proses P&P guru dengan perubahan yang dilakukan terhadap kandungan kurikulum.  Namun, usaha tersebut menemui kegagalan disebabkan faktor-faktor berikut iaitu: (i) guru tidak dilibatkan secara bersama dalam panel pakar yang melaksanakan proses penambahbaikan tersebut; (ii) latihan dan kursus yang disediakan kepada guru tidak mencapai matlamat program; (iii) guru masih melaksanakan proses P&P berdasarkan pengalaman-pengalaman pembelajaran lalu yang berkaitan dengan kurikulum lama; dan (iv) sesetengah guru tidak menerima agihan kurikulum yang telah diperbaiki daripada pihak atas.

(b) Peringkat kedua (pada tahun 1970-an)

         Pada peringkat ini, takrifan konsep penambahbaikan sekolah masih lagi tertumpu kepada pembolehubah proses, namun penekanan pada peringkat ini adalah dari aspek perancangan.  Harris (2002) menggambarkan kenyataan di atas dengan mengatakan perubahan yang dilaksanakan ketika itu adalah penekanan kepada strategi penambahbaikan dengan perancangan yang rapi menerusi usaha mendokumenkan setiap penambahbaikan dan menghantar guru untuk menjalani latihan bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan komitmen agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan kurikulum baru.

(c)Peringkat ketiga (akhir tahun 1970-an sehingga pertengahahn tahun 1980an)

         Selanjutnya, konsep penambahbaikan sekolah dalam peringkat ketiga ini merupakan satu takrifan yang dianggap mantap.  Purkey dan Smith (1983), Sashkin dan Egermeir (1992) serta Wilson dan Corcoran (1988) bersetuju dengan pandangan tersebut dengan mengatakan peringkat ini dikenali sebagai tempoh kejayaan kerana dapatan kajian dalam Gerakan Keberkesanan Sekolah digunakan bagi mengenal pasti strategi-strategi untuk membangunkan sekolah.  Namun, pada peringkat ini juga, matlamat untuk memperbaiki sekolah masih kurang berjaya kerana perubahann hanya berlaku terhadap sesetengah pembolehubah proses atau tidak secara menyeluruh (Coronel, 1996; Stoll & Gink, 1996).

        Bertepatan dengan peringkat perubahan yang berlaku dalam memberikan takrifan konsep penambahbaikan sekolah, dapat dirumuskan bahawa konsep tersebut lebih menekankan pembolehubah proses dengan bermaksud segala usaha atau strategi yang dijalankan untuk menjadikan sesebuah seklah sebgai tempat yang lebih baik.  Barth (1990) dan Hopkins et. al. (1994) bersetuju dengan kenyataan tersebut dengan mengatakan pengkaji sekolah berkesan ketika itu lebih menumpukan pembolehubah proses berbanding dengan pembolehubah dapatan bagi mendefinisikan konsep penambahbaikan sekolah kerana pembolehubah proses adalah sumber utama untuk mencapai sesuatu dapatan.  Misalnya, kajian Harris (2002) berbentuk meta analisis ke atas 200 buah kajian lampau telah menemui faktor-faktor penyumbang kejayaan sekolah seperti mana berikut yang direncana strateginya bagi meningkatkan pencapaian murid iaitu: (a) faktor sekolah yang melibatkan strategi untuk meningkatkan pencapaian visi dan misi, pengharapan serta manusia, dan (b) faktor guru yang melibatkan strategi untuk meningkatkan amalan di dalam bilik darjah serta memberikan hak dan tanggungjawab kepada murid.

(d) Peringkat keempat (fasa terkini)

       Fasa ini memberikan penekanan kepada proses mengurus perubahan.  Fasa ini dikatakan sukar kerana ia memperlihatkan penglibatan sebenar dalam pembangunan sekolah.  Kajian yang terbaik dalam perubahan pendidikan adalah datang daripada orang yang benar-benar terlibat dalam perubahan pendidikan.  Antara strategi-strategi yang berkesan dalam menggerakkan dan mempromosi kemajuan pendidikan adalah:


1. Latihan yang konkrit dan berpusatkan guru serta latihan bersifat lanjutan.
2. Pembantu kelas (bilik darjah) yang terdiri daripada kakitangan tempatan.
3. Pemerhatian guru ke atas projek-projrk dan aktiviti yang sama di dalam
    bilik darjah, sekolah dan daerah-daertah yang berbeza.
4. Mengadakan mesyuarat secara tetap dan memberi tumpuan kepada isu-isu
    yang berguna.
5. Mengembangkan bahan-bahan projek.
6. Penglibatan pengetua dalam latihan.
7. Penglibatan guru dalam menentukan keputusan berkaitan projek-projek.
                  
           Akhirnya dalam usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat penting, sungguhpun tugas utama guru berkaitan dengan pengajaran dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah berkesan.

       Apa yang diperlukan adalah strategi yang bersifat pelaksanaan yang mesra bagi perubahan pendidikan.


No comments:

Post a Comment