Pendahuluan
Pengetua memainkan peranan
penting sebagai pengerak kepada penambahbaikan sekolah. Peranan yang perlu
dimainkan oleh pengetua untuk mencapai hasrat pengurusan yang berkualiti
semakin kompleks dan mencabar. Peranan itu semestinya perlulah sesuai dan bertepatan
berdasarkan keperluan negara. Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai suatu kayu
pengukur kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.
Setiap peranan yang
dimainkan oleh pengetua di dalam penambahbaikan sekolah adalah bertujuan untuk
menghasilkan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan oleh setiap ahli di
dalam organisasi sekolah. Usaha-usaha penambahbaikan perlu melibatkan usaha
dari semua ahli di dalam organisasi yang diketuai oleh pengetuanya.
Gaya kepemimpinan pengetua
akan mempengaruhi usaha-usaha penambahbaikan sekolah yang dilakukan. Pengetua yang mempunyai gaya kepemimpinan
yang kuat akan berjaya membentuk iklim dan budaya sekolah yang sihat dan kondusif
untuk pengajaran dan pembelajaran. Kepercayaan pengetua yang kuat dan nilai
yang dipegang dan dikongsi bersama dengan ahlinya akan menentukan hala tuju
sekolah itu . Budaya dan suasana sekolah serta bilik darjah akan mempengaruhi
kejayaan sesebuah sekolah dan kecemerlangan pelajarnya. Sekolah akan berjaya apabila
kepemimpinannya berjaya membangunkan keupayaan sekolah (school capacity). Peranan pengetua yang sebeginilah mampu mengerakkan sekolah ke arah lebih baik .
Apakah
peranan pengetua di dalam usaha penambahbaikan sekolah?
Pengetua di Malaysia
dilantik berdasarkan kepada senioriti atau tempoh pengalaman perkhidmatan
mereka. Ini akan menyebabkan setiap pengetua yang dilantik di Malaysia itu
mempunyai pengalaman yang dirasai mencukupi untuk memimpin sesebuah organisasi
sekolah. Kecemerlangan dan kejayaan sesebuah sekolah itu memang dipengaruhi
oleh kepemimpinan pengetua yang cemerlang dan berkesan. Pengetua memainkan
peranan yang penting untuk memastikan penambahbaikan sekolah berlaku bagi
menghasilkan output yang cemerlang dan berjaya.
Pengetua sekolah
perlu pertingkatkan usaha bagi menambah baik matlamat pendidikan. Penambahbaikan sekolah tidak hanya diukur
dari kecemerlangan pencapaian pelajar sahaja walaupun itulah sememangnya dilihat.
Penambahbaikan sekolah juga memerlukan seseorang pengetua itu untuk melihat kepada pembentukan visi, misi serta matlamat,
keperluan pelajar di dalam pembelajaran, perkembangan guru bagi meningkatkan
kualiti pengajaran mereka, sokongan, komunikasi dan semangat kerjasama yang tinggi di dalam organisasi dan juga
hubungan dengan komuniti yang mampu ditambahbaik. Inilah antara peranan utama
yang pengetua perlu laksanakan.
Sekolah yang mampu bertambah
baik adalah perlu mendapatkan kerjasama dari keseluruhan warga sekolah itu
iaitu ia melihat kepada keberkesanan dan
kualiti kepimpinan pengetua yang menyumbang kepada pembangunan sekolah dan
keberkesanan staf. Pengetua perlu
mengambil kira pandangan staf kerana merekalah yang akan menjadi pelaksana dan
pengetua perlu memastikan yang konsep penambahbaikan sekolah diterap dan
menjadi sebati di dalam diri guru-guru. Apabila telah menjadi budaya maka
keseluruhan ahli di dalam sekolah akan berperanan ke arah penambahbaikan
sekolah.
Peranan seterusnya ialah pengetua
perlu memberikan penekanan kepada
kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah di samping membina
kapasiti organisasi. Pengetua perlu memastikan yang pelajar-pelajar diberikan
pendidikan yang berkesan dan guru-guru sentiasa disokong oleh pengetua di dalam
meningkatkan kualiti pengajaran mereka.
Oleh itu, pengetua sendiri perlu menjadi model pembelajar, untuk
mempersoalkan amalan pengajaran sedia ada dan sentiasa bersedia untuk mencari
pengetahuan dan kemahiran baru di dalam bidang pendidikan.
Pengetua di sesebuah sekolah
juga dilihat sebagai penyelesai masalah
yang dihadapi oleh setiap warga sekolah khususnya dan organisasi amnya. Ia
memerlukan hubungan yang baik di antara kepemimpinan pengetua dan budaya
organisasi sebagai laluan kepada penambahbaikan sekolah. Pengetua perlu
bergerak dari mengamalkan gaya kepemimpinan yang bersifat direktif kepada gaya
kepemimpinan transformational yang membolehkan beliau menerapkan budaya yang berkesan
di dalam persekitaran kerja. Ia lebih menekankan kepada nilai murni dan nilai
tambahan dari pemimpin dan bagaimana ia disebarkan kepada seluruh warga
sekolah. Kepemimpinan transformational
ini lebih bersifat kemanusiaan berbanding orientasi organisasi dan memerlukan
pendekatan kepemimpinan yang mementingkan sikap, perasaan dan kepercayaan orang
lain. Pemimpin yang bersifat transformational ini akan membantu dan mengalakkan
perkembangan professional di dalam organisasinya. Ia akan mengalakkan kolaborasi
di antara staf dan melibatkan perkongsian kuasa dengan semua ahlinya.
Pengetua yang ingin membawa
sekolahnya ke arah penambahbaikan juga bukan hanya mempunyai visi untuk
sekolahnya tetapi juga mampu mengenalpasti dan mengiktiraf kerjasama dan
perkongsian di antara staf dan bekerjasama untuk memastikan visi dan matlamat itu dibentuk dan dicapai secara
kolaboratif. Pengetua mempunyai peranan untuk mengetahui kekuatan dan
kelemahan staf dan perlu melabur di dalam perkembangan dan pembangunan
stafnya. Pengetua perlu lebih mahir di
dalam kebolehannya untuk mengurus
perubahan dan mengekalkan budaya memberikan peluang untuk bertambah baik dan
berkembang tumbuh kepada guru-guru dan pelajar-pelajarnya. Kesemua ini
tidak boleh diperolehi tanpa kerjasama dan kepercayaan dari keseluruhan warga
sekolah berdasarkan tujuan dan matlamat yang sama. Ini turut dipengaruhi oleh
keupayaan pengetua untuk membina komuniti sekolah yang memasukkan unsur nilai
dan pembangunan serta pencapaian individu di dalam sekolah.
Pengetua perlu mampu
memimpin guru-guru dan keseluruhan staf untuk menambahbaik iklim bilik darjah
dan pengajaran mereka. Penambahbaikan sekolah memang mempunyai perkaitan yang
amat rapat dengan kedua-dua aspek ini. Proses pengajaran guru perlu
ditingkatkan dan ditambahbaik terlebih dahulu.
Peranan pengetua yang
seterusnya di dalam penambahbaikan sekolah ialah sebagai pemimpin budaya. Penambahbaikan sekolah yang berjaya akan mampu
mewujudkan sekolah yang mempunyai budaya yang tersendiri untuk melambangkan
sekolah yang dipimpin oleh pengetuanya. Pengetua perlulah menerapkan nilai dan
kepercayaan tertentu yang diamalkan oleh seluruh warganya. Iklim dan budaya
sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran perlu dipupuk.
Situasi yang menimbulkan keselesaan di kalangan ahli-ahli organisasi akan
menyumbang kepada proses kerja yang lancar dan seterusnya motivasi akan
meningkat dan hasil akhir atau matlamat sekolah akan tercapai. Budaya
pembelajaran yang berjaya dibentuk di sekolah akan berjaya menghasilkan warga
sekolah yang mementingkan proses pembelajaran itu sendiri. Budaya pembelajaran
akan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang yang mana ianya merupakan
antara kriteria penambahbaikan sekolah.
Di dalam konteks Malaysia,
peranan pengetua sebagai pemimpin yang berkesan lebih menekankan pengetua yang
mampu memimpin dan mewujudkan suasana, iklim sekolah yang kondusif untuk
pengajaran dan pembelajaran, berkongsi misi dan visi sekolah, mempunyai harapan
yang tinggi kepada guru dan staf, melatih pemimpin guru dan mewujudkan sikap
positif terhadap pelajar, guru dan ibu bapa. Pengetua yang inginkan
penambahbaikan di sekolah perlulah sentiasa berpengetahuan, sanggup mengambil risiko, tekun dan sanggup berkongsi
kuasa dengan ahli-ahlinya.
Selain itu, peranan pengetua
sebagai pemimpin untuk penambahbaikan sekolah juga mempunyai kaitan dengan
kebolehan pengetua untuk berinteraksi dan berhubung dengan keseluruhan
ahli-ahli di dalam organisasinya. Ini disebabkan oleh sikap, nilai dan
tingkahlaku pengetua itu akan memberikan gambaran dan mereflek peranannya
sebagai pemimpin. Peranan pengetua sebagai pemimpin di dalam penambahbaikan
sekolah ini menjadi ikutan dan panduan orang bawahannya. Pengetua bertanggung jawab
untuk menjaga dan mengurus sumber di
bawahnya menerusi aktiviti memimpin, membimbing, memupuk kerjasama dan
memastikan kebajikan dan keperluah warga sekolah selari dengan matlamat
sekolah.
Peranan pengetua yang
seterusnya ialah peranan sebagai pentadbir. Penambahbaikan sekolah akan melibatkan
persekitaran kerja yang stabil dan setiap aktiviti berjalan dengan lancar dan
teratur. Peranan pengetua sebagai pentadbir ke arah penambahbaikan sekolah
memerlukan pengetua untuk mengawal, menyelia dan mengurus sumber manusia dengan
berkesan. Proses penambahbaikan akan turut melibatkan guru, staf , pelajar dan
komuniti. Oleh itu untuk berperanan sebagai pentadbir dengan berkesan, pengetua
perlu menetapkan piawaian, menyediakan kemudahan prasarana dan sebagainya bagi
kemudahan setiap warga sekolah untuk bergerak ke arah penambahbaikan sekolah.
Apabila memainkan peranan sebagai pentadbir, pengetua akan turut menerapkan
ciri-ciri kepemimpinan di dalamnya dan akan menghasilkan tugasan dan kerja yang
lancar. Penambahbaikan bukan hanya perlu dilakukan bagi pengajaran dan
pembelajaran sahaja malahan turut perlu diberi penekanan di dalam aspek
kewangan dan mengurus kebajikan serta pembangunan profesional guru. Pelaksanaan
penambahbaikan sekolah secara khususnya dilakukan oleh guru-guru, dengan itu
pengetua perlulah meningkatkan tahap profesionalisme guru supaya mereka
berkeyakinan dan mampu untuk melaksanakan ‘core-business’ dengan berkesan.
Peranan turut berperanan sebagai sebagai penghubung. Peranan penghubung ini meliputi perhubungan
dan aktiviti pengetua dengan ibu bapa dan komuniti setempat yang menyokong
proses penambahbaikan sekolah itu. Peranan sebagai penghubung ini adalah
penting kerana ia adalah landasan untuk membolehkan pengetua memperolehi
sebarang maklumat yang diperlukan. Peranan pengetua sebagai pengurus perubahan juga perlu
diamalkan agar pengurusan lebih dinamik
kerana pengetua adalah pemudahcara kepada
sebarang perubahan. Proses penambahbaikan sekolah sudah semestinya memerlukan
pelbagai perubahan dilakukan. Perubahan mungkin dilakukan dengan kaedah
pengajaran dan pembelajaran atau sikap guru. Oleh itu, pengetua perlu jelas dan
faham akan peranan tertentu yang perlu dimainkan bagi mendapatkan kerjasama
dari semua warga sekolah. Pengetua perlu membuat pertimbangan dan mendapat
persetujuan dari semua warga sekolah bagi memastikan tiap-tiap perubahan itu
dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Kesimpulan
Di dalam pelaksanaan penambahbaikan sekolah, hubungan yang baik dengan pelbagai pihak sangat diperlukan agar pengetua boleh memperolehi kerjasama, sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak. Pengetua perlu memastikan semua pihak mempunyai satu matlamat dan tujuan iaitu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
