Friday, 3 May 2013

ROL PEMIMPIN (PENGETUA) DALAM MENAMBAHBAIK SESEBUAH SEKOLAH


 Pendahuluan

       Pengetua memainkan peranan penting sebagai pengerak kepada penambahbaikan sekolah. Peranan yang perlu dimainkan oleh pengetua untuk mencapai hasrat pengurusan yang berkualiti semakin kompleks dan mencabar. Peranan itu semestinya perlulah sesuai dan bertepatan berdasarkan keperluan negara. Penambahbaikan sekolah dilihat sebagai suatu kayu pengukur kepada kecemerlangan pelajar dan sekolah.

      Setiap peranan yang dimainkan oleh pengetua di dalam penambahbaikan sekolah adalah bertujuan untuk menghasilkan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan oleh setiap ahli di dalam organisasi sekolah. Usaha-usaha penambahbaikan perlu melibatkan usaha dari semua ahli di dalam organisasi yang diketuai oleh pengetuanya.
      Gaya kepemimpinan pengetua akan mempengaruhi usaha-usaha penambahbaikan sekolah yang dilakukan.  Pengetua yang mempunyai gaya kepemimpinan yang kuat akan berjaya membentuk iklim dan budaya sekolah yang sihat dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Kepercayaan pengetua yang kuat dan nilai yang dipegang dan dikongsi bersama dengan ahlinya akan menentukan hala tuju sekolah itu . Budaya dan suasana sekolah serta bilik darjah akan mempengaruhi kejayaan sesebuah sekolah dan kecemerlangan pelajarnya. Sekolah akan berjaya apabila kepemimpinannya berjaya membangunkan keupayaan sekolah (school capacity). Peranan pengetua yang sebeginilah mampu  mengerakkan sekolah ke arah lebih baik .

Apakah peranan pengetua di  dalam usaha penambahbaikan sekolah?

         Pengetua di Malaysia dilantik berdasarkan kepada senioriti atau tempoh pengalaman perkhidmatan mereka. Ini akan menyebabkan setiap pengetua yang dilantik di Malaysia itu mempunyai pengalaman yang dirasai mencukupi untuk memimpin sesebuah organisasi sekolah. Kecemerlangan dan kejayaan sesebuah sekolah itu memang dipengaruhi oleh kepemimpinan pengetua yang cemerlang dan berkesan. Pengetua memainkan peranan yang penting untuk memastikan penambahbaikan sekolah berlaku bagi menghasilkan output yang cemerlang dan berjaya.
        Pengetua sekolah perlu pertingkatkan  usaha bagi  menambah baik matlamat pendidikan.  Penambahbaikan sekolah tidak hanya diukur dari kecemerlangan pencapaian pelajar sahaja walaupun itulah sememangnya dilihat. Penambahbaikan sekolah juga memerlukan seseorang pengetua itu untuk melihat  kepada pembentukan visi, misi serta matlamat, keperluan pelajar di dalam pembelajaran, perkembangan guru bagi meningkatkan kualiti pengajaran mereka, sokongan, komunikasi dan semangat kerjasama  yang tinggi di dalam organisasi dan juga hubungan dengan komuniti yang mampu ditambahbaik. Inilah antara peranan utama yang pengetua perlu laksanakan.

Sekolah yang mampu bertambah baik adalah perlu mendapatkan kerjasama dari keseluruhan warga sekolah itu iaitu ia melihat kepada keberkesanan dan kualiti kepimpinan pengetua yang menyumbang kepada pembangunan sekolah dan keberkesanan staf.  Pengetua perlu mengambil kira pandangan staf kerana merekalah yang akan menjadi pelaksana dan pengetua perlu memastikan yang konsep penambahbaikan sekolah diterap dan menjadi sebati di dalam diri guru-guru. Apabila telah menjadi budaya maka keseluruhan ahli di dalam sekolah akan berperanan ke arah penambahbaikan sekolah.
Peranan seterusnya ialah pengetua perlu memberikan penekanan kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah di samping membina kapasiti organisasi. Pengetua perlu memastikan yang pelajar-pelajar diberikan pendidikan yang berkesan dan guru-guru sentiasa disokong oleh pengetua di dalam meningkatkan kualiti pengajaran mereka.  Oleh itu, pengetua sendiri perlu menjadi model pembelajar, untuk mempersoalkan amalan pengajaran sedia ada dan sentiasa bersedia untuk mencari pengetahuan dan kemahiran baru di dalam bidang pendidikan.
Pengetua di sesebuah sekolah juga dilihat sebagai penyelesai masalah yang dihadapi oleh setiap warga sekolah khususnya dan organisasi amnya. Ia memerlukan hubungan yang baik di antara kepemimpinan pengetua dan budaya organisasi sebagai laluan kepada penambahbaikan sekolah. Pengetua perlu bergerak dari mengamalkan gaya kepemimpinan yang bersifat direktif kepada gaya kepemimpinan transformational yang membolehkan beliau menerapkan budaya yang berkesan di dalam persekitaran kerja. Ia lebih menekankan kepada nilai murni dan nilai tambahan dari pemimpin dan bagaimana ia disebarkan kepada seluruh warga sekolah. Kepemimpinan transformational ini lebih bersifat kemanusiaan berbanding orientasi organisasi dan memerlukan pendekatan kepemimpinan yang mementingkan sikap, perasaan dan kepercayaan orang lain. Pemimpin yang bersifat transformational ini akan membantu dan mengalakkan perkembangan professional di dalam organisasinya. Ia akan mengalakkan kolaborasi di antara staf dan melibatkan perkongsian kuasa dengan semua ahlinya.
Pengetua yang ingin membawa sekolahnya ke arah penambahbaikan juga bukan hanya mempunyai visi untuk sekolahnya tetapi juga mampu mengenalpasti dan mengiktiraf kerjasama dan perkongsian di antara staf dan bekerjasama untuk memastikan visi dan matlamat itu dibentuk dan dicapai secara kolaboratif. Pengetua mempunyai peranan untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan staf dan perlu melabur di dalam perkembangan dan pembangunan stafnya.  Pengetua perlu lebih mahir di dalam kebolehannya untuk mengurus perubahan dan mengekalkan budaya memberikan peluang untuk bertambah baik dan berkembang tumbuh kepada guru-guru dan pelajar-pelajarnya. Kesemua ini tidak boleh diperolehi tanpa kerjasama dan kepercayaan dari keseluruhan warga sekolah berdasarkan tujuan dan matlamat yang sama. Ini turut dipengaruhi oleh keupayaan pengetua untuk membina komuniti sekolah yang memasukkan unsur nilai dan pembangunan serta pencapaian individu di dalam sekolah.
              Pengetua perlu mampu memimpin guru-guru dan keseluruhan staf untuk menambahbaik iklim bilik darjah dan pengajaran mereka. Penambahbaikan sekolah memang mempunyai perkaitan yang amat rapat dengan kedua-dua aspek ini. Proses pengajaran guru perlu ditingkatkan dan ditambahbaik terlebih dahulu.

              Peranan pengetua yang seterusnya di dalam penambahbaikan sekolah ialah sebagai pemimpin budaya. Penambahbaikan sekolah yang berjaya akan mampu mewujudkan sekolah yang mempunyai budaya yang tersendiri untuk melambangkan sekolah yang dipimpin oleh pengetuanya. Pengetua perlulah menerapkan nilai dan kepercayaan tertentu yang diamalkan oleh seluruh warganya. Iklim dan budaya sekolah yang kondusif untuk proses pengajaran dan pembelajaran perlu dipupuk. Situasi yang menimbulkan keselesaan di kalangan ahli-ahli organisasi akan menyumbang kepada proses kerja yang lancar dan seterusnya motivasi akan meningkat dan hasil akhir atau matlamat sekolah akan tercapai. Budaya pembelajaran yang berjaya dibentuk di sekolah akan berjaya menghasilkan warga sekolah yang mementingkan proses pembelajaran itu sendiri. Budaya pembelajaran akan menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang yang mana ianya merupakan antara kriteria penambahbaikan sekolah.
            Di dalam konteks Malaysia, peranan pengetua sebagai pemimpin yang berkesan lebih menekankan pengetua yang mampu memimpin dan mewujudkan suasana, iklim sekolah yang kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran, berkongsi misi dan visi sekolah, mempunyai harapan yang tinggi kepada guru dan staf, melatih pemimpin guru dan mewujudkan sikap positif terhadap pelajar, guru dan ibu bapa. Pengetua yang inginkan penambahbaikan di sekolah perlulah sentiasa berpengetahuan, sanggup mengambil risiko, tekun dan sanggup berkongsi kuasa dengan ahli-ahlinya.
            Selain itu, peranan pengetua sebagai pemimpin untuk penambahbaikan sekolah juga mempunyai kaitan dengan kebolehan pengetua untuk berinteraksi dan berhubung dengan keseluruhan ahli-ahli di dalam organisasinya. Ini disebabkan oleh sikap, nilai dan tingkahlaku pengetua itu akan memberikan gambaran dan mereflek peranannya sebagai pemimpin. Peranan pengetua sebagai pemimpin di dalam penambahbaikan sekolah ini menjadi ikutan dan panduan orang bawahannya. Pengetua bertanggung jawab untuk menjaga dan mengurus sumber di bawahnya menerusi aktiviti memimpin, membimbing, memupuk kerjasama dan memastikan kebajikan dan keperluah warga sekolah selari dengan matlamat sekolah.
                Peranan pengetua yang seterusnya ialah peranan sebagai pentadbir.  Penambahbaikan sekolah akan melibatkan persekitaran kerja yang stabil dan setiap aktiviti berjalan dengan lancar dan teratur. Peranan pengetua sebagai pentadbir ke arah penambahbaikan sekolah memerlukan pengetua untuk mengawal, menyelia dan mengurus sumber manusia dengan berkesan. Proses penambahbaikan akan turut melibatkan guru, staf , pelajar dan komuniti. Oleh itu untuk berperanan sebagai pentadbir dengan berkesan, pengetua perlu menetapkan piawaian, menyediakan kemudahan prasarana dan sebagainya bagi kemudahan setiap warga sekolah untuk bergerak ke arah penambahbaikan sekolah. Apabila memainkan peranan sebagai pentadbir, pengetua akan turut menerapkan ciri-ciri kepemimpinan di dalamnya dan akan menghasilkan tugasan dan kerja yang lancar. Penambahbaikan bukan hanya perlu dilakukan bagi pengajaran dan pembelajaran sahaja malahan turut perlu diberi penekanan di dalam aspek kewangan dan mengurus kebajikan serta pembangunan profesional guru. Pelaksanaan penambahbaikan sekolah secara khususnya dilakukan oleh guru-guru, dengan itu pengetua perlulah meningkatkan tahap profesionalisme guru supaya mereka berkeyakinan dan mampu untuk melaksanakan ‘core-business’ dengan berkesan.

                 Peranan turut berperanan sebagai sebagai penghubung.  Peranan penghubung ini meliputi perhubungan dan aktiviti pengetua dengan ibu bapa dan komuniti setempat yang menyokong proses penambahbaikan sekolah itu. Peranan sebagai penghubung ini adalah penting kerana ia adalah landasan untuk membolehkan pengetua memperolehi sebarang maklumat yang diperlukan. Peranan pengetua sebagai pengurus perubahan juga perlu diamalkan  agar pengurusan lebih dinamik kerana pengetua adalah pemudahcara kepada sebarang perubahan. Proses penambahbaikan sekolah sudah semestinya memerlukan pelbagai perubahan dilakukan. Perubahan mungkin dilakukan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran atau sikap guru. Oleh itu, pengetua perlu jelas dan faham akan peranan tertentu yang perlu dimainkan bagi mendapatkan kerjasama dari semua warga sekolah. Pengetua perlu membuat pertimbangan dan mendapat persetujuan dari semua warga sekolah bagi memastikan tiap-tiap perubahan itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.  

Kesimpulan
               
       Di dalam pelaksanaan penambahbaikan sekolah, hubungan yang baik dengan pelbagai pihak sangat diperlukan agar pengetua boleh memperolehi kerjasama, sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak. Pengetua perlu memastikan semua pihak mempunyai satu matlamat dan  tujuan iaitu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

            














No comments:

Post a Comment