Sunday, 31 March 2013

Apakah yang anda faham tentang "PENAMBAHBAIKAN SEKOLAH" ?


Pengenalan

         Perkembangan sistem pendidikan pada masa kini memberi pengiktirafan kepada mana-mana sekolah yang mencapai standard kecemerlangan yang telah ditetapkan dengan memberi penarafan Sekolah Cemerlang, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Harapan Negara dan sebagainya.  Ia merupakan suatu kepercayaan kementerian terhadap keberkesanan sekolah terhadap usaha kepimpinan sekolah.  Terdapat juga sekolah-sekolah yang tidak mendapat pengiktirafan tetapi terbaik dalam lingkungan kawasannya dan sekolah-sekolah ini disifatkan sebagai berkesan.

     Sekolah sebagai sebuah sistem sosial yang memberi khidmat kepada pelbagai latar belakang masyarakat mempunyai pelbagai peranan dan tuntutan dari pelbagai pihak yang berkepentingan.  Maka adalah munasabah bahawa setiap golongan masyarakat mempunyai pelbagai pandangan pendefinisian sekolah tentang keberkesanan sekolah. Golongan yang dimaksudkan itu adalah guru, pelajar, ibu bapa melihat keberkesanan sekolah dari penekanan kepada aspek kecemerlangan akademik sebagai pengukur keberkesanan sekolah.  Implikasinya, ibu bapa melihat akan keupayaan guru untuk mengajar anak-anak mereka belajar dan cemerlang dalam peperiksaan.  Manakala bagi guru, mereka berpandangan penekanan kepada perkembangan yang seimbang dalam kalangan pelajar dan pengharapan keupayaan pentadbir sekolah membantu guru menjalankan tugasnya.

        Oleh itu, sekolah sememangnya dibebani dengan pelbagai pengharapan oleh pelbagai golongan masyarakat.  Sekolah dilihat mempunyai pelbagai konsep keberkesanan mengikut persektif dan kepentingan pihak-pihak tertentu.  Bagi pihak kementerian, mereka melihat dari aspek Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan kepada keseimbangan dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

       Apabila sekolah ingin menaikkan reputasi dan prestij di mata masyarakat yakni meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah, ia akan mula dikenali persepsi dan pemerhatian yang lebih luas khususnya daripada pihak berkepentingan dalam pendidikan seperti guru, murid, ibubapa dan komuniti setempat.  Pihak yang berkepentingan ini inginkan sekolah berjaya untuk membentuk murid yang mempunyai ciri-ciri modal insan yang berkualiti.  Justeru, usaha untuk membangunkan reputasi sekolah menjadi semakin penting dan mencabar (Bolender, 2004).  Malah, sekolah yang berusaha untuk membangunkan reputasinya ke arah kecemerlangan perlu memastikan tindakan mereka bertepatan dengan kehendak persekitaran yang sentiasa berubah-ubah (Vanderstoep, Anderman & Midgley, 2005) dan seharusnya berpandukan dapatan kajian yang mantap (Yeager, 1995).

       Bertepatan dengan saranan di atas, kajian mengenai sekolah berkesan seharusnya dijadikan panduan bagi sesebuah sekolah untuk merintis kejayaan kerana dapatan kajiannya adalah menyeluruh yang bukan hanya tertumpu kepada keberkesanan P&P sahaja (Bolender, 2004).  Namun, kajian mengenai sekolah berkesan di Malaysia masih berkurangan (Shahril Marzuki, 1997) khususnya kajian yang berkaitan dengan pendekatan terkini dalam gerakan sekolah berkesan.  Implikasinya, wujud pelbagai takrifan yang diberikan dan fenomena tersebut menimbulkan masalah untuk membentuk model sekolah berkesan berdasarkan konteks di Malaysia (Rahimah Ahmad et al., 1999).

Definisi Sekolah Berkesan

       Sekolah berkesan didefinisikan sebagai sekolah yang mengadakan satu sistem pengajaran berpadu dan berkesan namun bagi Bickel (1983) pula berpendapat bahawa sekolah berkesan adalah sekolah-sekolah yang efektif dalam pengajaran kanak-kanak miskin atau dari kaum minoriti.  Man (1985) pula berpendapat sekolah berkesan adalah sekolah-sekolah yang efektif dari segi mengurangkan kesan sosial ekonomi pelajar ke atas pencapaian prestasi akademiknya.
 Sekolah-sekolah yang efektif dari segi mengurangkan kesan Status Sosial Ekonomi (SES) pelajar ke atas pencapaian prestasi akademiknya (Mann 1985).  Namun begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang keberkesanan sekolah ialah :

“Sekolah yang mana sebahagian besar daripada pelajar-pelajarnya mencapai tahap yang tinggi dalam prestasi akademik apabila dibandingkan dengan sekolah-sekolah yang lain.”

(Cuttance 1985)

    
Konsep Sekolah Berkesan

        Istilah sekolah berkesan ini sememangnya telahpun popular di kalangan masyarakat di Malaysia, walaupun mereka sebenarnya belum lagi memahami maksud sekolah berkesan dengan sebenarnya. Konsep ini telah diwar-warkan oleh pemimpin-pemimpin pendidikan kita sama ada di dalam persidangan, kolokium, seminar-seminar, taklimat-taklimat atau pun sesi dialog dan mesyuarat yang sering diadakan. Kajian-kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (Edmonds, 1979; Goodlad, 1984), Eropah (Creemers, 1992), Britain (Rutter, Maughan, Mortimore & Ouston, 1979; Mortimore, Sammons, Stoll, Lewis & Ecob, 1998) dan di Kanada (Renihan, Renihan & Waldron, 1986) telah mendapati bahawa sekolah berkesan ialah sesebuah sekolah di mana seseorang murid itu belajar sebenarnya memberi kesan kepada pembentukan dan pencapaian (Rutter et.al.1979).


Sekolah tidak beroperasi dalam satu vakuum. Ianya merupakan komposit perhubungan pengajaran dan pembelajaran dan interaksi antara murid-murid, antara guru-guru dengan murid-murid, antara staf dan kakitangan lain, dan hubungan serta peranan aktif dan positif di pihak ibu bapa dan masyarakat setempat. Imej sebuah sekolah yang berkesan dipengaruhi oleh keberkesanan pengajaran dan pembelajran di dalam sekolah itu.

Aspek atau ciri-ciri yang ditunjukkan dalam sekolah berkesan dan seterusnya pembangunan berterusan adalah:-

·   kepemimpinan pengajaran yang berkesan
·   tujuan yang jelas
·   iklim sekolah yang teratur, tertib dan selamat
·   jangkaan penguasaan minima semua murid
·   ujian digunakan bagi penilaian dan 'membetulkan arah' program
·   matlamat akademik yang jelas
·   penglibatan ibu bapa dan penjaga
·   wujudnya kesejawatanan (collegiality) 

Kini perhatian lebih tertumpu kepada budaya organisasi dan pembangunan keadaan-keadaan yang merangsang penciptaan budaya sekolah berkesan. Ini menjadi cabaran dan satu tanggungjawab ke atas bahu kepemimpinan sekolah yang sepatutnya boleh menjadi 'transformational school leaders' yang membangun dan memantapkan budaya kolaboratif, mengupayakan guru-guru menerusi perkongsian bijak dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah secara kolektif.

Konsep Penambahbaikan Sekolah

      Menurut Hopkins dan Reynolds (2002) serta Sashkin dan Egermeier (1992) bahawa Gerakan Penambahbaikan Sekolah yang wujud sejak lebih 30 tahun lalu telah memberikan impak kepada takrifan penambahbaikan sekolah berdasarkan peringkat-peringkat berikut iaitu:

(a)  Peringkat pertama (pertengahan tahun 1960-an)

    Pada peringkat pertama, konsep penambahbaikan sekolah telah memberikan tumpuan kepada pembolehubah proses atau strategi untuk meningkatkan proses P&P guru dengan perubahan yang dilakukan terhadap kandungan kurikulum.  Namun, usaha tersebut menemui kegagalan disebabkan faktor-faktor berikut iaitu: (i) guru tidak dilibatkan secara bersama dalam panel pakar yang melaksanakan proses penambahbaikan tersebut; (ii) latihan dan kursus yang disediakan kepada guru tidak mencapai matlamat program; (iii) guru masih melaksanakan proses P&P berdasarkan pengalaman-pengalaman pembelajaran lalu yang berkaitan dengan kurikulum lama; dan (iv) sesetengah guru tidak menerima agihan kurikulum yang telah diperbaiki daripada pihak atas.

(b) Peringkat kedua (pada tahun 1970-an)

         Pada peringkat ini, takrifan konsep penambahbaikan sekolah masih lagi tertumpu kepada pembolehubah proses, namun penekanan pada peringkat ini adalah dari aspek perancangan.  Harris (2002) menggambarkan kenyataan di atas dengan mengatakan perubahan yang dilaksanakan ketika itu adalah penekanan kepada strategi penambahbaikan dengan perancangan yang rapi menerusi usaha mendokumenkan setiap penambahbaikan dan menghantar guru untuk menjalani latihan bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan komitmen agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan kurikulum baru.

(c)Peringkat ketiga (akhir tahun 1970-an sehingga pertengahahn tahun 1980an)

         Selanjutnya, konsep penambahbaikan sekolah dalam peringkat ketiga ini merupakan satu takrifan yang dianggap mantap.  Purkey dan Smith (1983), Sashkin dan Egermeir (1992) serta Wilson dan Corcoran (1988) bersetuju dengan pandangan tersebut dengan mengatakan peringkat ini dikenali sebagai tempoh kejayaan kerana dapatan kajian dalam Gerakan Keberkesanan Sekolah digunakan bagi mengenal pasti strategi-strategi untuk membangunkan sekolah.  Namun, pada peringkat ini juga, matlamat untuk memperbaiki sekolah masih kurang berjaya kerana perubahann hanya berlaku terhadap sesetengah pembolehubah proses atau tidak secara menyeluruh (Coronel, 1996; Stoll & Gink, 1996).

        Bertepatan dengan peringkat perubahan yang berlaku dalam memberikan takrifan konsep penambahbaikan sekolah, dapat dirumuskan bahawa konsep tersebut lebih menekankan pembolehubah proses dengan bermaksud segala usaha atau strategi yang dijalankan untuk menjadikan sesebuah seklah sebgai tempat yang lebih baik.  Barth (1990) dan Hopkins et. al. (1994) bersetuju dengan kenyataan tersebut dengan mengatakan pengkaji sekolah berkesan ketika itu lebih menumpukan pembolehubah proses berbanding dengan pembolehubah dapatan bagi mendefinisikan konsep penambahbaikan sekolah kerana pembolehubah proses adalah sumber utama untuk mencapai sesuatu dapatan.  Misalnya, kajian Harris (2002) berbentuk meta analisis ke atas 200 buah kajian lampau telah menemui faktor-faktor penyumbang kejayaan sekolah seperti mana berikut yang direncana strateginya bagi meningkatkan pencapaian murid iaitu: (a) faktor sekolah yang melibatkan strategi untuk meningkatkan pencapaian visi dan misi, pengharapan serta manusia, dan (b) faktor guru yang melibatkan strategi untuk meningkatkan amalan di dalam bilik darjah serta memberikan hak dan tanggungjawab kepada murid.

(d) Peringkat keempat (fasa terkini)

       Fasa ini memberikan penekanan kepada proses mengurus perubahan.  Fasa ini dikatakan sukar kerana ia memperlihatkan penglibatan sebenar dalam pembangunan sekolah.  Kajian yang terbaik dalam perubahan pendidikan adalah datang daripada orang yang benar-benar terlibat dalam perubahan pendidikan.  Antara strategi-strategi yang berkesan dalam menggerakkan dan mempromosi kemajuan pendidikan adalah:


1. Latihan yang konkrit dan berpusatkan guru serta latihan bersifat lanjutan.
2. Pembantu kelas (bilik darjah) yang terdiri daripada kakitangan tempatan.
3. Pemerhatian guru ke atas projek-projrk dan aktiviti yang sama di dalam
    bilik darjah, sekolah dan daerah-daertah yang berbeza.
4. Mengadakan mesyuarat secara tetap dan memberi tumpuan kepada isu-isu
    yang berguna.
5. Mengembangkan bahan-bahan projek.
6. Penglibatan pengetua dalam latihan.
7. Penglibatan guru dalam menentukan keputusan berkaitan projek-projek.
                  
           Akhirnya dalam usaha membina keberkesanan sekolah, reformasi atau program pembaikan sekolah haruslah merupakan tindakan pembangunan dalaman sekolah. Sememangnya dalam pelaksanaan reformasi di sekolah, penglibatan setiap masyarakat sekolah amat penting, sungguhpun tugas utama guru berkaitan dengan pengajaran dan pelaksanaan kurikulum, namun usaha meningkatkan kemajuan sekolah perlu dihayati dan ditangani bersama demi membentuk sekolah berkesan.

       Apa yang diperlukan adalah strategi yang bersifat pelaksanaan yang mesra bagi perubahan pendidikan.


Tuesday, 26 March 2013

MEMIMPIN GURU-GURU TANPA MENGGUNAKAN KUASA DAN KEDUDUKAN UNTUK MENJADIKAN SEKOLAH BERKESAN



      Kepimpinan, iaitu keupayaan mempengaruhi, memotivasi, mengubah sikap dan tingkah laku orang bawahan supaya bersetuju untuk melaksanakan program-program dan melakukan perubahan-perubahan ke arah mencapai matlamat organisasi.

    Kepimpinan  bersandarkan kepada kuasa yang dimilikki oleh seseorang pemimpin. The type of powers are reward, coercive, expert, legitimate and referent. Di antara jenis kuasa ini, saya berpendapat kuasa paling utama dimilikki oleh pemimpin legitimate yang memberi kuasa yang sah kepada pemimpin untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Surat perlantikan yang diterima sebagai pengetua memberikan autoriti kepadanya untuk mengendalikan organisasi tersebut.


    Kebiasaannya kemampuan pengetua memimpin sekolah bergantung kepada kedudukan dan kuasa mereka. Walau bagaimanapun, kedudukan dan kuasa tidak semestinya mempengaruhi kepimpinan pengetua di sekolah. Ramai orang keliru dengan menganggap kepimpinan bermaksud wibawa, kekuasaan, dominasi dan kekuatan.

     Pada pandangan saya, seorang pemimpin sekolah memerlukan kemahiran memimpin untuk menentukan wujudnya perubahan dan penambahbaikan dan juga penyesuaian keadaan, dan kemahiran pengurusan untuk menentukan semuanya berjalan lancar.

      Kata Mao Tze Tung, seorang pemimpin yang berkesan adalah "jinak seperti kucing dan garang seperti harimau." Dalam konteks ini, pengetua atau guru besar yang berkesan adalah gurubesar atau pengetua yang mempunyai keseimbangan emosi dan perasaan. Ada masanya pengetua memerlukan ciri-ciri watak dan perwatakan yang lembut dan mesra sosial dan ada kalanya dia memerlukan personaliti yang tegas dan garang.

       Justeru itu, adalah penting seseorang pengetua mempunyai ciri-ciri watak dan perwatakan yang sesuai dengan penampilan diri yang unggul, kesihatan yang terjamin, kebersihan diri, mannerism, beretika dan tutur bahasa yang sopan.


     Selain itu, personaliti seseorang pengetua juga memerlukan kapasiti dan kekuatan dari segi minda. Kemantapan keintelektualan seseorang pengetua amat berguna dan maha penting kerana pengetua terpaksa menghadapi pelbagai cabaran kepengetuaan. Tugas pengetua memerlukan pembuatan keputusan serta penilaian tentang segala alternatif dan pelbagai kemungkinan yang boleh timbul dari sesuatu keputusan yang dibuat ataupun sesuatu kaedah pembuatan keputusan. Selain itu tugas pengetua juga dilingkari dengan pelbagai bentuk tekanan yang tidak kepastian. Oleh itu, Pengetua yang sarat dengan berbagai-bagai disiplin keilmuan, amat perlu untuk menjadi pengurus yang berkesan.


       Kepemimpinan pengetua boleh mempengaruhi sistem sekolah melalui 4 pendekatan iaitu penetapan matlamat dan tujuan, struktur dan jaringan sosial, unsur kemanusiaan dan budaya organisasi. Kepemimpinan pengetua juga dilihat bukan sahaja mempengaruhi individu malahan guru secara kumpulan, murid dan ibu bapa. Bagi sekolah yang berkesan, pengetua terlibat di dalam penetapan matlamat pengajaran, matlamat sekolah bersama-sama guru. Visi, misi, matlamat, harapan dan sokongan akan memberi kesan kepada organisasi dan mempengaruhi keberkesanan sekolah.  Perhubungan dan kerjasama dengan ibu bapa yang tinggi dan berkesan akan mampu menyumbang kepada pencapaian murid.  Budaya sekolah yang dibentuk juga turut menyumbang di dalam keberkesanan sekolah. Budaya kolaboratif dan pengajaran berkesan disamping penyeliaan oleh pengetua memberi kesan secara langsung dengan keberkesanan sekolah. Penglibatan pengetua bersama-sama guru memberikan kesan secara tidak langsung kepada  pencapaian murid.

        Kesimpulan dari kefahaman saya ialah bagi mewujudkan sekolah yang berkesan, faktor kepemimpinan pengetua itu tidak boleh dipandang ringan kerana pengetua merupakan pengerak kepada organisasi secara keseluruhannya. Pengetua sebagai pemimpin perlu ’inspire’ pengikutnya untuk berubah kepada keadaan dan kaedah pengajaran yang lebih baik kerana tujuan dan matlamat utama sekolah ialah untuk menghasilkan murid yang cemerlang di dalam pembelajaran, sahsiah dan kokurikulum. Walaupun latarbelakang murid, sekolah dan persekitaran berbeza-beza, apa yang dititikberatkan ialah kepemimpinan pengetua itu sendiri di dalam menyumbang kepada keberkesanan sekolah. 

         Bagi menjadikan pengaruh lebih berkesan, pemimpin perlu ada didikan. Pemimpin yang berjiwa pendidik ( murabbi )  adalah orang yang memahami tujuan, matlamat dan tahap-tahap didikan.



      

Friday, 1 March 2013


AHLAN WASAHLAN 




TUMBOH melambangkan pembesaran dan perkembangan. Dari segi fizikal, MRSM semakin membesar dengan pertambahan bangunan, dewan. bengkel dan bilik darjah. Dari segi perkembangan sahsiah pula, pelajar MRSM  semakin matang dan berdaya saing.

Perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi dan pendidikan merupakan antara wadah utama untuk mencapai status negara maju. Selari dengan matlamat tersebut, generasi pada hari ini perlu dipersiapkan dengan ketinggian ilmu, ketahanan fizikal serta kekuatan rohani.

Kehadiran TUMBOH ini bukan sahaja sebagai satu wadah untuk pembaca tetapi juga sebagai jentera penggerak menyebarkan pelbagai informasi ianya akan mereakamkan segala perkembangan sama ada dari norma pembelajaran, peristiwa bersejarah dan sebagainya yang bakal menjadi coretan manis semua. 

Penglibatan pelajar IKP Kohort 2 MARA  dalam membina dan menghasilkan blogspot ini merupakan salah satu penerapan kemahiran, penambahbaikan dan pengalaman awal yang amat berguna kepada kita sebagai pelajar. Pengalaman ini menjadikan pelajar lebih kreatif bahkan mempunyai sikap berdaya saing dalam dunia tanpa sempadan ini.

Memilikki minat yang mendalam dalam penulisan sebagaimana yang akan dipaparkan melalui TUMBOH ini merupakan satu 'tabiat' yang boleh membantu dan memudahkan pembelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Kemahiran dan pengalaman menulis dapat membantu pelajar-pelajar dalam membuat kajian, kertas kerja, penulisa ilmiah serta kertas projek dalam sistem pendidikan semasa di universiti menjadi lebih mudah.

Adalah menjadi harapan saya, TUMBOH akan terus membesar dan rendang memberi naungan kepada pencinta ilmu.Untuk kejayaan di dunia, kita mesti berilmu. Untuk kejayaan di akhirat kita mesti berilmu. Untuk kedua-dua dunia dan akhirat kita mesti berilmu.

Tuan puteri datang bermohon,
Membawa hajat kayangan puri,
Subur TUMBOH silih berganti,
Kenangan abadi penuh memori.